KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi, menyifatkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai “rabun pintu keluar” susulan tekanan dalaman parti itu selepas prestasi buruk pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, Puad membandingkan reaksi parti-parti politik lain terhadap keputusan pilihan raya tersebut.
“Meskipun PKR hanya memenangi satu kerusi dan DAP tidak memenangi sebarang kerusi, tidak timbul desakan agar kepimpinan tertinggi kedua-dua parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anthony Loke agar melepaskan jawatan.
“UMNO yang memenangi lima kerusi juga tidak menghadapi desakan agar Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berundur.
“Tetapi dua hari selepas Bersatu menang 0 kerusi, 20 Ketua Bahagian Bersatu di Sabah mendesak Muhyiddin letak jawatan. Bila agaknya Muhyiddin akan letak jawatan,” katanya menerusi Facebook.
Puad turut memetik dakwaan ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang mendakwa Muhyiddin menjadi punca perpecahan dalam parti.
Menurut Puad, “auranya sudah hilang” dan Muhyiddin kini “luput tempoh (expired)”, namun sikap ego dikatakan menghalang beliau melihat “pintu keluar”.
Setakat ini, Muhyiddin belum memberikan sebarang respons terhadap gesaan tersebut.
Baca juga:








