Pujian Terhadap Pendekatan Baharu RMK13, Saranan Laksana Ekonomi Kreatif

KUALA LUMPUR: Menteri Besar  Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai satu peralihan berani ke arah pendekatan pembangunan negara yang lebih holistik dan berpaksikan peranan kerajaan sebagai pemangkin pasaran (market shaper).

Berucap dalam sesi perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat, beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak memuji penekanan yang diberikan terhadap usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, memperkukuh pendidikan dan menggabungkan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

“Dokumen RMK13 ini merupakan satu departure daripada kerangka terdahulu yang terlalu berfokus kepada pembangunan fizikal. Ia kini memberi perhatian kepada penciptaan nilai, inovasi dan peranan strategik kerajaan sebagai Entrepreneurial State,” ujarnya.

Amirudin turut merujuk pertemuan Perdana Menteri bersama pakar ekonomi terkemuka, Profesor Mariana Mazzucato, sebagai petanda Malaysia sedang menyusun semula falsafah pembangunan nasional berasaskan penciptaan nilai (value creation) dan pemikiran jangka panjang.

Namun begitu, beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa Ekonomi Kreatif, meskipun disebut dalam Strategi A1:13 RMK13, masih belum mempunyai hala tuju yang jelas atau dasar menyeluruh yang boleh mendorong pelaburan dan keyakinan pemain industri.

“Kita bercakap tentang meningkatkan kandungan ‘Made by Malaysia’. Tapi di mana pelan tindakan, peruntukan dan dasar yang menyeluruh untuk menjadikan ekonomi kreatif sebagai satu sektor strategik negara?” soal beliau.

Sebagai perbandingan, Amirudin mengangkat pengalaman Korea Selatan yang berjaya membangunkan gelombang K-pop dan K-drama melalui pelaburan kerajaan sejak tahun 1990-an dan pelaksanaan dasar berstruktur seperti Master Plan for the Promotion of the Content Industry.

Beliau mencadangkan agar Malaysia turut menggubal satu Dasar Industri Kreatif Nasional, setaraf dengan dasar-dasar strategik lain seperti New Industrial Master Plan 2030 (NIMP2030) dan National Energy Transition Roadmap (NETR).

“Kita tidak boleh hanya bergantung pada animasi dan filem pendek. Industri kreatif berasaskan idea dan aset budaya ini boleh menjana peluang pekerjaan dan eksport kandungan secara besar-besaran, seperti yang diiktiraf UNCTAD,” tegas beliau.

Amirudin turut menyeru agar kerajaan memperluas definisi industri kreatif agar tidak terlalu rigid, dan menyediakan ekosistem yang menyokong inovasi merentas bidang seperti muzik, permainan digital, seni persembahan, rekaan dan penulisan.

Beliau menutup ucapannya dengan harapan agar generasi muda melihat ekonomi kreatif bukan hanya sebagai ekspresi seni, tetapi sebagai kerjaya profesional dan aset ekonomi yang mampu membawa Malaysia ke pentas global.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat