Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Peranan kerajaan sebagai pemacu utama dalam membangunkan ekonomi negara yang mampan tidak boleh lagi dipandang ringan, tegas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Berucap pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2026, beliau menekankan bahawa kejayaan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata tetapi juga melalui kemampuan melindungi dan memajukan aset tempatan yang menjadi identiti nasional.
Beliau turut menyeru seluruh sayap Puteri UMNO agar mengambil tanggungjawab lebih besar sebagai sebahagian daripada kerajaan untuk memastikan kelangsungan hidup jenama-jenama tempatan.
“Sebagai sebahagian daripada kerajaan, kita harus mengambil tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan kelangsungan hidup jenama-jenama tempatan,” katanya.
Beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan polisi yang dapat membantu peniaga tempatan berkembang dengan sokongan berterusan supaya pelaksanaannya benar-benar dirasai rakyat khususnya generasi muda.
“Apa yang lebih penting adalah sokongan berterusan daripada kerajaan untuk memastikan pelaksanaan polisi itu tidak hanya menjadi teori tetapi sesuatu yang dapat dirasai oleh generasi muda,” katanya.
Selain sokongan kewangan, katanya, kerajaan perlu menyediakan ekosistem kebersamaan yang merangkumi bimbingan dan panduan kepada usahawan tempatan.
“Kita boleh melihat bagaimana negara-negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) memberikan sokongan kepada usahawan mereka. Kenapa tidak kita?,” soalnya.
Nurul Amal turut menekankan pentingnya menzahirkan rasa bangga terhadap produk Malaysia, agar anak muda tidak berasa malu mengangkat jenama tempatan.
“Sama seperti Elon Musk yang membawa nama Amerika di seluruh dunia, kita perlu meletakkan jenama tempatan kita di mata dunia.
“Kita ada kemampuan untuk mencipta dan menghasilkan produk yang berkualiti dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mendukung produk-produk ini,” katanya.








