LONDON: Puteri Wales menyeru ibu bapa agar meletakkan telefon dan memberi lebih tumpuan kepada keluarga.
Puteri Kate William menegaskan teknologi kini menjadi punca kepada krisis keterasingan yang semakin menjejaskan hubungan sesama manusia.
Dalam esei yang disiarkan di laman web Royal Foundation Centre for Early Childhood, bersama penyelidik pembangunan dewasa, Robert Waldinger, memberi amaran bahawa peranti yang kononnya dicipta untuk menghubungkan manusia sebenarnya semakin menjauhkan kita antara satu sama lain.
“Kita duduk bersama di ruang yang sama, namun fikiran berpecah kepada puluhan aplikasi, notifikasi dan paparan media sosial.
“Kita hadir secara fizikal, tetapi tidak benar-benar hadir secara mental, tidak mampu berhubung sepenuhnya dengan orang di depan kita,” tulis mereka.
Puteri Kate sejak sekian lama memberi tumpuan kepada pembangunan awal kanak-kanak sebagai antara perjuangan utamanya. Kali ini, beliau bekerjasama dengan Waldinger, yang juga Pengarah Kajian Pembangunan Dewasa Harvard, penyelidikan jangka panjang mengenai kehidupan dan kebahagiaan orang dewasa.
Kajian itu mendapati bahawa mereka yang memiliki hubungan sosial yang kukuh lebih cenderung hidup dengan bahagia, memuaskan dan sihat.
“Pandanglah orang yang anda sayangi, lihat ke mata mereka dan hadir sepenuhnya, kerana di situlah kasih sayang bermula,” kata mereka dalam esei tersebut.
Baca juga:








