Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mahu mewujudkan kumpulan ‘backbenchers’ ahli-ahli parlimen daripada pelbagai parti tanpa mengira fahaman politik untuk mendesak kerajaan memberi penyelesaian segera terhadap kemelut institusi kehakiman.
Menerusi sidang media hari ini, Rafizi berkata beliau akan mengaut beberapa sokongan dan dukungan daripada ahli-ahli parlimen tidak kira parti bagi menuntut beberapa perkara perkara (a),(b),(c), yang berkait dengan perundangan, eksekutif dan kehakiman negara.
Antara perkara-perkara tersebut adalah, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat semua dakwaan berlegar mengenai campur tangan dalam pelantikan dan keputusan kehakiman kerana tidak mahu kes skandal VK Lingam berulang kembali dalam institusi kehakiman negara.
“Fakta-fakta ini mewajarkan kebimbangan sebahagian pengamal undang-undang dan masyarakat yang melihat kemelut institusi kehakiman sekarang sebagai mirip kepada skandal video VK Lingam dalam tahun 2007 dahulu iaitu cubaan mempengaruhi lantikan hakim dan keputusan kes-kes mahkamah,” katannya.
Selain itu, beliau bersama lapan ahli PKR yang lain turut menuntut sebuah lagi prosiding khas oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi) JKPK termasuk memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi keterangan.
“Kami akan menulis secara rasmi kepada Pengerusi JKPK, YB William Leong dan setiap anggota JKPK,” ujarnya.
Selain itu katanya, pelantikan bagi mengisi kekosongan jawatan-jawatan utama dalam institusi kehakiman seharusnya dilakukan berdasarkan prosiding dan pencalonan yang telah dikemukakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sebelum ini.
“Sebarang pencalonan baru hendaklah dibuat selepas perkara 3 (a) dan (b) telah berlaku; iaitu setelah tuduhan mengenai cubaan mempengaruhi lantikan hakim dan keputusan kes telah dirungkai,” tambahnya.
“Parlimen Malaysia, sebagai cabang perundangan yang bebas, perlu memainkan peranan yang utama dalam melindungi kebebasan institusi kehakiman,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut meminta penangguhan berhubung semua pencalonan baru hakim sehingga siasatan dan prosiding parlimen diselesaikan serta penganjuran siri forum awam di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran rakyat.
Beliau berkata demikian di sidang media hari ini di sini, bersama lapan ahli-ahli Parlimen PKR iaitu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Bakhtiar Wan Chik; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
“Kami menyeru semua Ahli Parlimen, tanpa mengira parti, agar berdiri bersama mempertahankan institusi kehakiman negara. Ini bukan isu parti, ini isu maruah dan masa depan negara,” tambah beliau.
Sehubungan itu, kesemua ahli parlimen itu menegaskan bahawa kemelut kehakiman perlu diberi sebagai isu nombor satu negara.
Baca juga: