Rafizi Kritik Ucapan Belanjawan Hadi, ‘Retorik Politik, Tiada Isi’

PETALING JAYA: Ucapan Belanjawan 2026 oleh Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerima kritikan ‘pedas’ daripada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyifatkannya sebagai retorik politik semata-mata tanpa asas kukuh dan pelan pelaksanaan yang jelas.

Dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook beliau, Rafizi mempersoalkan hujah utama Hadi yang mendakwa ekonomi Malaysia terlalu bergantung kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia serta cadangan agar negara menjalin hubungan lebih erat dengan negara-negara Islam yang kaya.

“Bila Ahli Parlimen Hulu Terengganu (Datuk Rosol Wahid) mencadangkan supaya Malaysia tidak lagi menggunakan dolar AS, Marang bersetuju.

“Bunyi memang sedap di warung-warung kopi,” katanya.

Bekas Menteri Ekonomi itu turut membangkitkan persoalan mengenai peranan Hadi sewaktu memegang jawatan duta khas bertaraf menteri ke Timur Tengah semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN), yang menurutnya gagal menghasilkan kerjasama ekonomi seperti yang sering dilaungkan

“Semasa beliau (Hadi) jadi duta khas, kenapa tidak berjaya membina kerjasama ekonomi dengan negara-negara Islam yang beliau sering rujuk?

“Dan semasa Pas bersama dalam kerajaan, kenapa PN tidak menukar sistem kewangan supaya tidak lagi bergantung kepada dolar AS?” soal beliau.

Rafizi turut menyindir reaksi Ahli Parlimen PN yang bertepuk tangan selepas ucapan Hadi, menyifatkannya sebagai sorakan politik yang tidak membawa solusi kepada masalah sebenar ekonomi negara.

“Ahli-ahli Parlimen PN mungkin tepuk tangan dan tersenyum lebar tapi rakyat hanya mampu senyum sinis,” sindirnya.

Anda Mungkin Berminat