Raja-raja Melayu bincang isu keselamatan, hakim dan pengharaman vape

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang berlangsung di Istana Negara hari ini membincangkan tentang isu keselamatan negara, pertahanan negara, pelantikan hakim dan pengharaman vape.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media hari ini oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Pada hari ini, Majlis telah disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan mengenai pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar.

“Perkara mengenai pelantikan-pelantikan telah pun dibincangkan dalam Mesyuarat tersebut, iaitu pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, Pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Presiden Mahkamah Rayuan dan Pelantikan Ketua Hakim Negara,” katanya.

Syed Danial memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja turut mengambil maklum mengenai cadangan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik di Malaysia.

Kata beliau lagi, majlis mengambil maklum akan keperluan pendaftaran perkahwinan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia serta kertas keputusan Jemaah Menteri mengenai cadangan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak berpusat.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.

Selain itu turut hadir Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri serta wakil premier Sarawak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat