KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa tiada sebarang kejadian luar biasa berlaku di Masjid Rusila, Terengganu seperti yang didakwa berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.
Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat berhubung insiden melibatkan anggota pasukan elit yang menjalani latihan di kawasan tersebut pada September lalu.
“Saya sudah meneliti semua rakaman CCTV di Masjid Rusila dan tiada apa-apa yang luar biasa berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Saifuddin, latihan tersebut merupakan sebahagian daripada modul survival dan penyamaran bagi anggota pasukan elit, di mana peserta perlu mengelak daripada ‘ditangkap’ oleh jurulatih sebagai sebahagian daripada penilaian latihan.
Kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar waktu Asar pada 19 September lalu apabila kumpulan anggota berkenaan singgah menunaikan solat di masjid berkenaan.
“Saya juga telah berhubung dengan Ketua Polis Terengganu untuk pengesahan.
“Laporan polis memang dibuat oleh imam masjid pada 29 September, iaitu 10 hari selepas kejadian,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak polis telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan masjid serta Ahli Parlimen Marang dan kedua-dua pihak bersetuju bahawa insiden tersebut hanyalah satu salah faham.
“Hasil siasatan mendapati tiada niat jahat atau unsur provokasi, malah semua pihak berpuas hati selepas sesi pertemuan,” katanya.
Saifuddin turut mengingatkan agar isu keselamatan seperti ini tidak dipolitikkan atau dibesar-besarkan tanpa fakta yang sahih.
“Apabila perkara yang telah diselesaikan dipanaskan semula dan ditokok tambah, ia hanya menimbulkan kekeliruan serta salah faham dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menghormati institusi masjid dan memastikan sebarang operasi atau latihan oleh pasukan keselamatan dijalankan dengan tertib dan penuh hormat terhadap sensitiviti masyarakat setempat.








