Rakaman Dedah Dakwa Hadi Restu Hamzah Calon PM

PUTRAJAYA: Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus memuncak apabila tular tiga rakaman audio yang didakwa melibatkan pemimpin tertinggi parti itu  termasuk dakwaan bahawa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, merestui Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon perdana menteri mewakili Perikatan Nasional (PN).

Menurut laporan portal Malaysiakini, rakaman tersebut mendedahkan perbincangan sulit beberapa pemimpin kanan Bersatu yang dipercayai mengatur gerakan menolak keputusan parti semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).

Dalam satu rakaman, suara dipercayai milik Ketua Bersatu Puchong, Mohd Shukor Mustaffa, memberi arahan kepada beberapa individu supaya menyekat satu keputusan penting parti dan bahkan merancang membawa masuk kain rentang secara rahsia ke dalam dewan PAT.

Rakaman kedua pula memaparkan suara mirip Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang mendakwa Abdul Hadi menyatakan secara terbuka dalam satu pertemuan sulit bahawa Hamzah ialah calon perdana menteri pilihan Pas.

Dalam laporan itu juga menjelaskan cubaan untuk mendapatkan maklum balas daripada beberapa pemimpin kanan Bersatu dan Pas termasuk Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Datum Saifuddin Abdullah dan Wan Saiful bagaimanapun tidak berhasil kerana mereka memilih untuk berdiam diri.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menafikan parti itu menamakan sesiapa sebagai calon perdana menteri, dengan menegaskan keutamaan PN ketika ini ialah memenangi pilihan raya terlebih dahulu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat