PETALING JAYA: Rakaman keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan hari ini (Rabu) telah ditangguhkan atas faktor kesihatan.
Menurut sumber memetik laporan media tempatan, kesihatan Ahli Parlimen Bera itu tidak berada dalam keadaan baik dan beliau juga mempunyai sijil cuti sakit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa proses rakaman keterangan yang dijadualkan pada Rabu telah ditangguhkan dan akan diambil pada hari lain.
SPRM dijangka akan merekodkan keterangan Ismail Sabri pada hari lain di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Terdahulu, Malaysia Bangkit melaporkan Ismail Sabri adalah suspek dalam siasatan kes rasuah dan penggubahan wang haram yang melibatkan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.