Rakyat Berhak Kecewa Jika Kuasa Disalah Guna- Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa rakyat berhak berasa kecewa sekiranya pihak berkuasa menyalahgunakan kuasa atau terlibat dalam amalan rasuah sehingga menjejaskan kepercayaan terhadap institusi negara.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda, Seri Paduka Baginda menegaskan kepentingan mempertahankan dua prinsip utama Rukun Negara, iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang sebagai asas sistem pemerintahan.

“Rakyat berhak untuk berasa kecewa apabila pihak berkuasa didapati menyalahgunakan kedudukan dan berasuah,” titah baginda.

Baginda bertitah, pemeliharaan kedua-dua prinsip itu amat penting kerana ia memberi kesan secara langsung terhadap tahap keyakinan rakyat terhadap integriti institusi pemerintahan dan pentadbiran negara.

“Pemeliharaan dua aspek Rukun Negara itu amat penting kerana ia memberi kesan secara langsung ke atas tahap kepercayaan rakyat kepada integriti institusi pemerintahan dan pentadbiran negara,” titah baginda lagi.

Titah berkenaan dizahirkan ketika Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Sri Azalina Othman Said, pada Jumaat.

Menurut kenyataan Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut diperkenankan menerima taklimat mengenai isu-isu semasa berkaitan perundangan negara, termasuk usaha pengukuhan tadbir urus serta pelaksanaan reformasi institusi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat