PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir ke Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku pada 7 Disember (Ahad) bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan serta berinteraksi secara langsung bersama rakyat.
Program selama tiga hari yang berlangsung dari 5 hingga 7 Disember di Dataran Putrajaya menyediakan ruang dialog terbuka untuk rakyat menyuarakan pandangan, keperluan semasa dan menilai pencapaian kerajaan.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, program itu menjadi wadah penting untuk rakyat bertemu pemimpin negara serta memahami secara dekat hasil reformasi yang sedang dilaksanakan.
“Program ini membuka ruang kepada rakyat untuk bertemu pemimpin negara, menyampaikan pandangan mereka dan menilai keperluan semasa secara langsung,” katanya.
Beliau berkata, program itunturut menghimpunkan pelbagai inisiatif merentasi lapan segmen utama termasuk Produk Rakyat MADANI, Belia MADANI, reformasi perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat, hubungan antarabangsa serta pengisian menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Program ini juga menghimpunkan pelbagai inisiatif merentasi lapan segmen utama termasuk Produk Rakyat MADANI, Belia MADANI, reformasi perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat, hubungan antarabangsa serta pengisian menuju Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam taklimat Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat.
Tambahnya, rakyat berpeluang mendapatkan perkhidmatan langsung daripada kementerian dan agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan serta jualan produk rakyat sepanjang program berlangsung.
“Kehadiran Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan pimpinan tertinggi kerajaan memberi peluang untuk mendengar suara rakyat secara dekat, menilai keperluan semasa dan memperkukuh hubungan kepercayaan yang menjadi asas Malaysia MADANI,” katanya lagi.
Perdana Menteri turut mengalu-alukan kehadiran rakyat yang berkelapangan untuk memanfaatkan peluang ini dan menyertai pelbagai aktiviti sepanjang program.








