Rapid KL Lanjutkan Waktu Operasi Stesen Bukit Jalil Sempena Final Piala FA

PETALING JAYA: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mengumumkan lanjutan waktu operasi Stesen Bukit Jalil sehingga jam 12.30 tengah malam pada 14 Disember bersempena Perlawanan Akhir Piala FA 2025-2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Waktu operasi di stesen-stesen integrasi turut dilanjutkan bagi memastikan perjalanan penyokong lebih lancar. Stesen lain akan ditutup seperti biasa, tetapi penumpang masih boleh keluar di mana-mana stesen untuk meneruskan perjalanan pulang.

Penyokong digalakkan menggunakan kad Touch ‘n Go bagi mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen. Bagi pengguna token, Rapid Rail menasihatkan membeli token pergi dan balik lebih awal sebelum meninggalkan stesen.

Kemudahan Park N’ Ride di stesen-stesen terpilih turut disediakan untuk memudahkan perjalanan tanpa perlu menghadapi kesesakan trafik atau masalah parkir di kawasan stadium. Senarai stesen dan kadar caj boleh dirujuk di laman rasmi Rapid KL.

Rapid Rail akan menempatkan kakitangan tambahan di lokasi strategik untuk membantu pergerakan penyokong dan memastikan aliran trafik di dalam stesen berjalan lancar.

Penyokong juga digalakkan memuat turun aplikasi PULSE Rapid KL dan mengikuti media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat terkini dan merancang perjalanan dengan lebih mudah.

Langkah ini diambil sebagai persiapan menghadapi jumlah penyokong yang dijangka 50,000 hingga 60,000 orang bagi memastikan keselamatan, keselesaan, dan kelancaran perjalanan pulang selepas perlawanan.

Rapid Rail menegaskan kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan perjalanan lancar, mengurangkan kesesakan dan memberi pengalaman selamat kepada semua penyokong yang hadir ke perlawanan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat