Razman, jangan sembunyi jawab isu ladang babi

IPOH: Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak mendesak bekas Exco Pertanian Negeri, Razman Zakaria agar tidak terus ‘membisu’ dan tampil menjelaskan peranannya dalam isu kontroversi ladang babi di Tanjung Keramat, Ayer Kuning.

Setiausahanya, Salman Saleh menyifatkan sikap mendiamkan diri Razman sebagai tidak bertanggungjawab, memandangkan beliau pernah memegang portfolio berkaitan penternakan dari 2020 hingga 2022.

“Ketika ada kuasa, beliau tidak bertindak. Sekarang, bila isu dibangkitkan semula oleh PAS sendiri, beliau hilang dari radar media. Malah, sepanjang kempen PRK Ayer Kuning pun Razman diletakkan di belakang tabir, seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, rakyat berhak tahu apakah pelan penyusunan semula atau langkah penguatkuasaan yang pernah dirancang semasa Razman memegang jawatan exco.

“Kalau tidak ada sebarang tindakan dibuat, maka janganlah hari ini bersikap seolah-olah tangan suci, cuba salahkan orang lain,” katanya.

Salman turut membidas kenyataan Razman kepada media pada 2021, yang menyebut kerajaan tidak boleh tergesa-gesa bertindak kerana penternak telah melabur jutaan ringgit.

“Alasan itu bukan sahaja dangkal, malah memperlihatkan keengganan bertindak atas kepentingan rakyat. Kini, bila jadi modal politik, PAS sibuk menyerang tapi enggan dedahkan kelemahan sendiri,” katanya lagi.

Justeru, AMANAH mendesak PAS beri ruang kepada Razman untuk sekali sahaja tampil menjawab semua persoalan secara terbuka.

“Kami cabar PAS – jika tiada apa-apa hendak disorok, kenapa sorokkan Razman? Beri mikrofon padanya, biar rakyat dengar sendiri,” kata Salman yang juga Pengarah Operasi Pakatan Harapan bagi PRK N.48 Ayer Kuning.

Terdahulu, isu ladang babi di Kampung Tanjung Keramat, Ayer Kuning kembali mencuri tumpuan apabila penduduk tempatan tampil menyuarakan keresahan terhadap masalah pencemaran bau serta potensi ancaman kesihatan yang berpunca daripada operasi penternakan tersebut.

Kebimbangan itu dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak oleh ADUN Manjoi, Mohd Hafez Sabri, yang mendedahkan penduduk terpaksa menanggung bau busuk saban hari, selain berisiko terdedah kepada penyakit berjangkit akibat sisa buangan dari ladang terbabit.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat