Rejim Israel Tunduk, 428 Aktivis Flotilla Dibawa Pulang

KUALA LUMPUR: Kecaman antarabangsa terhadap rejim Israel akhirnya membuahkan hasil apabila kesemua 428 aktivis Flotilla kemanusiaan yang ditahan di Penjara Ketziot dibebaskan tanpa syarat, menurut laporan rasmi Sumud Nusantara Command Center (SNCC) yang dikeluarkan pada petang Khamis.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, insiden penahanan dan penculikan aktivis telah mencetuskan kemarahan global dengan kecaman keras daripada negara-negara seperti Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia dan Portugal.

Menurut beliau, organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) turut mengecam tindakan kejam terhadap aktivis kemanusiaan di perairan antarabangsa.

“Akibat tekanan yang semakin meluas, rancangan rejim untuk menahan aktivis dalam tempoh panjang akhirnya digugurkan.

“Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dimaklumkan bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah menghantar tiga pesawat khas Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon bagi membawa keluar aktivis terbabit.

“Ketiga-tiga penerbangan dengan kod TK6919, TK6921 dan TK6925 dijangka berlepas sekitar pukul 8 malam waktu Malaysia dan tiba di Istanbul sebelum disambut oleh wakil Kedutaan Malaysia di Turkiye serta Wisma Putra,” katanya.

Beliau berkata, delegasi Malaysia akan menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital Turkiye bagi tujuan dokumentasi dan laporan, susulan maklumat bahawa terdapat tahanan yang dipercayai telah dipukul serta mengalami kecederaan.

“Mereka dijangka pulang ke tanah air pada 23 Mei (Sabtu) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Mei (Ahad),” katanya.

Dalam bahagian Komitmen Misi, SNCC menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memperhebat solidariti melalui solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat nasional, di samping tekanan diplomatik dan advokasi berterusan sehingga sekatan terhadap Gaza ditamatkan sepenuhnya.

Sani Araby turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri, Menteri Komunikasi, Menteri Besar Selangor serta Kerajaan Malaysia atas usaha diplomatik yang memastikan keselamatan 29 rakyat Malaysia dalam misi tersebut.

“Mereka merancang dan Allah lah sebaik-baik Perancang,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat