PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang individu bergelar ustaz selebriti dalam sebuah program nasyid yang berlangsung di luar negeri.
Menurut hantaran di Facebook Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, suspek dikatakan mendekati mangsa dengan memanipulasi pendekatan agama dan minat terhadap nasyid sebagai helah.
“Adik keliru. Takut. Seorang diri. Dia tolak tangan ustaz itu sekuat mungkin dan mengunci diri di dalam tandas selama beberapa jam sebelum berjaya melarikan diri serta menghubungi keluarga.
“Laporan polis telah dibuat sejurus kejadian berlaku,” jelasnya.
Izzah berkata, difahamkan, keluarga mangsa turut menerima maklumat bahawa beberapa laporan polis lain pernah dibuat terhadap suspek, mencetuskan tanda tanya terhadap tindakan susulan pihak berkuasa.
Lebih memilukan, katanya, keluarga dari golongan B40 itu kini berdepan tekanan berganda apabila disaman oleh suspek atas dakwaan fitnah.
Antara tuntutan termasuk permohonan maaf terbuka dan bayaran ganti rugi yang dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.
Mangsa kini menjalani rawatan kaunseling secara berkala dan bergantung kepada ubat bagi menguruskan kesan trauma.
Impaknya bukan sahaja pada kesihatan mental, malah turut menjejaskan prestasi akademik dan cita-citanya untuk menjadi pendidik.
Izzah menegaskan komitmennya untuk memperjuangkan keadilan buat remaja tersebut.
“Saya tidak akan berundur walau selangkah.
“Saya akan bawa pasukan peguam, saya akan pastikan adik ini dilindungi dan keadilan itu akhirnya berpihak kepada yang benar, insya-Allah,” katanya.
Untuk rekod, mahkamah telah mengekalkan hukuman dua sebatan ke atas ustaz selebriti itu yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 27 September 2024.








