Rex Tan Dibebaskan, Siasatan Polis Diteruskan

KUALA LUMPUR: Bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya dirakam sejak tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan.

“Kita turut merampas telefon bimbitnya bagi membantu siasatan,” katanya, seperti dipetik Harian Metro hari ini.

Sementara itu, peguam Rex, Rajsurian Pillai memaklumkan anak guamnya dibebaskan sekitar jam 1.15 tengah hari tadi. Menurutnya, telefon bimbit serta kad SIM Rex turut dirampas pihak polis bagi tujuan siasatan.

Terdahulu, media melaporkan polis membuka kertas siasatan terhadap bekas wartawan portal berita FMT itu susulan satu soalan yang dikemukakannya dalam sebuah ceramah awam yang didakwa mengandungi unsur perkauman.

Soalan tersebut ditanya dalam wacana bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” yang menampilkan ahli politik United Kingdom, George Galloway, dan berlangsung di Kuala Lumpur.

Menurut M Kumar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berhubung penularan rakaman video yang memaparkan wartawan berkenaan mengemukakan soalan dengan membandingkan isu perkauman di Malaysia ketika membincangkan isu Palestin.

Beliau berkata, sebanyak tiga laporan polis diterima berhubung insiden tersebut, yang mencerminkan kegusaran orang awam.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat