Ringgit terkuat di Asia 2026, didorong dasar fiskal Kerajaan

Oleh: Muzammil Khairi

ULASAN | Setakat hari ini, Ringgit masih lagi terkuat di Asia untuk tahun 2026. Berbanding dengan semua matawang  negara-negara Asia, Malaysia mengukuh sebanyak 4.3 peratus ke atas dolar Amerika Syarikat (USD:$). Tempat kedua dikongsi oleh Phillippine Peso (PHP) & Chinese Renmimbi (CNY) dengan kenaikan keatas USD sebanyak 1.9 peratus.

Meskipun faktor USD melemah adalah faktor terbesar mengapa kebanyakkan mata wang Asia mengukuh keatas USD, tetapi tidak semua mata wang merasai kenaikan, malah ada yang melemah berbanding USD untuk tahun 2026 seperti IDR (-0.4 peratus) , HKD (-0.5 peratus), INR (-1.1 peratus). 

Rupiah misalnya mengalami kejatuhan keatas USD disebabkan kedudukan fiskal mereka yang kurang meyakinkan dan pasaran kewangan mereka yang kurang memberangsangkan, didorong masalah pematuhan dan ketelusan. 

Kepercayaan pelabur asing keatas kedudukan fiskal kerajaan Indonesia terus menerus berkurang rentetan laporan bahawa defisit fiskal mereka untuk Januari 2026 adalah sebanyak $3.25b atau 0.21 peratus keatas KDNK. Ini adalah defisit fiskal pertama pasca Covid-19 untuk bulan Januari. 

Ini sekali gus membenarkan unjuran penganalisa Citibank pada bulan lepas yang mengatakan bahawa Indonesia akan langgar had defisir fiskal 3 peratus seperti yang ditetapkan dalam undang-undang negara mereka. 

Hal ini menyebabkan berlaku aliran keluar dana asing daripada pasaran kewangan mereka dengan skala besar. Sebagai contoh, pasaran ekuiti mereka iaitu IDX setakat ini sudah merekodkan keluaran dana asing untuk tahun 2026 sebanyak $526.18 juta. 

Malaysia dalam kedudukan yang sedikit baik kerana asas ekonomi kita lebih kukuh dan kedudukan fiskal kerajaan lebih utuh. 

Untuk tahun lepas, defisit fiskal negara adalah 3.7 peratus, iaitu 0.1 peratus lebih rendah berbanding anggaran 3.8 peratus. Hutang statutori kerajaan ke atas KDNK juga kekal di bawah had undang-undang (65 peratus) iaitu 64 peratus.

Ekonomi juga rancak dengan kemampuan negara mencapai nilai perdagangan melebihi RM3 trillion dengan surplus bagi Akaun Semasa diteruskan untuk tahun ke 28 berturut-turut serta Akaun Perkhidmatan yang juga turut surplus buat kali pertama sejak 2011, dibantu oleh kemasukan pelancong yang ramai ke dalam negara. 

Ini semua adalah faktor mengapa pasaran pelaburan portfolio Malaysia mencatatkan aliran masuk dana asing bagi kedua-dua pasaran ekuiti & bon bulan lepas ($570 juta) sekaligus meningkatkan nilai Ringgit ke atas matawang-matawang lain. 

Ini belum kira transaksi kewangan lain luar daripada pelaburan portfolio seperti perbelanjaan berkaitan FDI oleh pelabur asing. 

Dalam keadaaan semasa, pasaran ekuiti akan berjaya mencatakan angka aliran bersih dana asing meskipun minggu ini bakal menyaksikan dana asing keluar deripada Malaysia buat minggu kedua berturut-turut. Pasaran bon juga akan mencatatkan aliran keluar dana asing bagi bulan penuh Februari 2026. 

Semoga tahun 2026 ini lebih cemerlang buat Malaysia.

***Penulis adalah penganalisis ekonomi dan sentiasa mengupas isu terkini di media sosialnya

Anda Mungkin Berminat