RM100 SARA Secara Automatik Untuk Semua Pemegang MyKad Dewasa

PARLIMEN | Tiada lagi proses permohonan atau pendaftaran diperlukan bagi warganegara Malaysia untuk menerima RM100 di bawah inisiatif Penghargaan SARA.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kelayakan akan ditentukan secara automatik melalui data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Ini merupakan julung kalinya bantuan tunai turut disalurkan kepada seluruh warganegara dewasa.

“Dengan ini, seramai 22 juta rakyat Malaysia layak menerima pengkreditan ini secara individu.

“Langkah ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 billion,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, pengkreditan RM100 akan dibuat secara ‘one-off’ melalui MyKad untuk semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas (lahir pada tahun 2007 dan sebelumnya) dan pembelian boleh dibuat bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.

“Inisiatif Penghargaan SARA membolehkan sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit SARA yang lebih tinggi.

“Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM500 dan bukannya hanya RM100 seisi rumah,” ujarnya.

Amir Hamzah berkata, kredit itu boleh digunakan di lebih 4,500 premis runcit berdaftar sehingga 29 Julai 2025 dan senarai akan terus dikemas kini.

“Jumlah premis itu akan bertambah dari semasa ke semasa melibatkan lebih 90,000 barangan keperluan harian dalam 14 kategori antaranya barangan makanan asas seperti beras dan telur, kebersihan rumah, ubat ubatan, keperluan sekolah dan kebersihan diri.

“Antara premis berdaftar adalah seperti Giant, MYDIN, BATARAS, C-Mart dan TF Value-Mart.

“Sekiranya terdapat premis yang ingin berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA, mereka boleh membuat permohonan kepada Yayasan MyKasih untuk proses selanjutnya.

“Dengan pelaksanaan penghargaan SARA, jumlah keseluruhan peruntukan di bawah program STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion bagi tahun 2025, kenaikan sebanyak 50 peratus berbanding RM10 bilion pada tahun 2024,” katanya.

Anda Mungkin Berminat