SEREMBAN: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menyokong pembangunan dan pemerkasaan seni mempertahankan diri negara, sekali gus mengiktirafnya sebagai warisan bangsa serta elemen penting dalam pembinaan jati diri.
Pengasas dan Presiden Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, Datuk Abdullah Ghani Kassim, merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas komitmen tersebut.
Beliau menyifatkan peruntukan itu sebagai pemangkin kepada pelaksanaan program pembangunan yang lebih tersusun dan profesional.
“Ia membolehkan usaha pembangunan atlet dan jurulatih dilaksanakan secara lebih berfokus,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Abdullah, dana berkenaan akan digunakan bagi menaik taraf kemudahan latihan, menyediakan peralatan asas serta memperkukuh laluan pembangunan atlet.
“Sasaran kami adalah melahirkan atlet tempur bertaraf dunia secara berperingkat,” katanya.
Pelaksanaan awal inisiatif itu dizahirkan melalui Majlis Apresiasi Pendekar Negara yang berlangsung di Seremban, penganjuran sulung Pertubuhan Lima Generasi Malaysia.
Majlis tersebut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah kepada penggiat seni mempertahankan diri termasuk pertubuhan silat, tokoh persilatan serta atlet silat dan Muay Thai negara atas sumbangan mereka dalam mengangkat martabat seni tempur.
Dalam pada itu, Pertubuhan Lima Generasi Malaysia turut menyambut baik usaha kerajaan memperluas pengenalan seni persilatan dalam sistem pendidikan.
“Langkah ini selari dengan usaha membentuk generasi muda yang berdisiplin dan berjati diri,” katanya.








