RMK13: Kerajaan Tidak Pinggir Bumiputera Meski Di Negeri SG4 – Faiz

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak dakwaan pembangkang yang menyatakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak memberi keutamaan kepada kebajikan Bumiputera, sambil menegaskan bahawa agenda pemerkasaan Bumiputera kekal sebagai teras utama dalam rancangan pembangunan negara itu.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil dalam satu kenyataan media berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan kandungan sebenar RMK13.

“Ini termasuk pemerkasaan usahawan, pegangan ekonomi, pemilikan kediaman dan peningkatan kemahiran tinggi.

“Sebaiknya pembangkang meneliti dokumen RMK13 secara adil supaya tidak mudah menabur fitnah,” katanya.

Menurut Faiz, RMK13 merupakan bukti jelas kesungguhan Kerajaan Madani dalam memperkukuh kekuatan ekonomi Bumiputera melalui pelbagai inisiatif bersasar dan inklusif.

Beliau turut berkata, kerajaan tidak meminggirkan negeri-negeri pembangkang yang tergolong dalam SG4, malah memberi perhatian khusus terhadap pembangunan ekonomi di negeri-negeri tersebut yang majoritinya dihuni oleh masyarakat Bumiputera.

“Berbekalkan inisiatif-inisiatif RMK13, dianggarkan ekonomi Kelantan akan berkembang pada kadar purata 4.7 peratus setahun dalam tempoh RMK13 berbanding 4.2 peratus (RMK12).

“Ekonomi Kedah akan berkembang 5.1 peratus purata setahun (RMK13) berbanding 4.7 peratus (RMK12), ekonomi Perlis akan berkembang 4.9 peratus (RMK13) berbanding 4 peratus (RMK12) dan ekonomi Terengganu akan berkembang 4.8 peratus (RMK13) berbanding 4.5 peratus (RMK12).

“Malahan, angka-angka anggaran pertumbuhan bagi keempat-empat negeri ini adalah jauh lebih tinggi daripada kadar RMK11,” jelasnya.

Sehubungan itu, Faiz menyeru agar blok pembangkang tampil dengan hujah yang lebih bernas, cadangan yang membina serta kritikan yang berasaskan fakta dan bukan sekadar retorik politik.

Anda Mungkin Berminat