KUALA LUMPUR: Platform permainan dalam talian popular, Roblox, menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam usaha memperkukuh perlindungan keselamatan pengguna muda, susulan kebimbangan terhadap pengaruh permainan digital terhadap kanak-kanak.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kesediaan itu dizahirkan selepas beliau menyuarakan kebimbangan Malaysia berhubung kesan permainan dalam talian terhadap tingkah laku dan emosi kanak-kanak.
“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, dan juga seorang ibu, saya risau apabila melihat bagaimana sesetengah permainan dalam talian boleh mempengaruhi tingkah laku dan emosi kanak-kanak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurutnya, Roblox, yang memiliki lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia termasuk lebih sejuta di Malaysia, memberi jaminan untuk mempertingkat ciri keselamatan melalui gabungan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan manusia.
“Platform berkenaan bersetuju untuk menjalinkan kerjasama bersama kerajaan dalam aspek perkongsian data serta pematuhan terhadap garis panduan dan peraturan tempatan,” katanya.

Beliau berkata, dunia digital perlu dibentuk sebagai ruang yang selamat, mendidik dan membina nilai murni dalam kalangan generasi muda bukan sekadar menjadi tempat hiburan.
“Kita mahu dunia digital yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membina karakter dan nilai yang betul untuk generasi akan datang,” katanya.








