LISBON: Bintang veteran Portugal, Cristiano Ronaldo, terus diyakini mampu memainkan peranan penting dalam skuad kebangsaan itu menjelang Piala Dunia 2026, meskipun usianya semakin meningkat.
Penyerang berusia 40 tahun itu kekal menjadi sandaran utama pasukan, berbekalkan pengalaman luas dan naluri pemusnahnya di depan gawang.
Peraih lima trofi Ballon d’Or itu kini beraksi di kelab Arab Saudi, Al-Nassr, dengan kontrak dua tahun bernilai tinggi.
Walaupun tidak lagi sepantas ketika di puncak kariernya, Ronaldo tetap menunjukkan ketajaman penyudah dan disiplin tinggi dalam setiap perlawanan, sekali gus membuktikan dirinya masih ‘mesin gol’ yang ditakuti lawan.
Sepanjang karier antarabangsa, kapten Portugal itu telah menjulang satu Piala Eropah (Euro 2016) dan dua trofi Liga Negara-Negara UEFA, namun kejuaraan Piala Dunia kekal menjadi satu-satunya gelaran yang belum dimilikinya.
Dengan edisi 2026 bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, Ronaldo bertekad untuk menamatkan karier antarabangsa dengan kejayaan terbesar.
Bekas pemain tengah Brazil dan Arsenal, Gilberto Silva, menyifatkan Ronaldo sebagai pemain dengan mentaliti luar biasa serta kepimpinan yang mampu mengangkat semangat pasukan.
“Dia seperti mesin. Walaupun tidak sepantas dulu, Ronaldo kini lebih bijak memainkan peranan sebagai penyerang utama.
“Kepemimpinannya amat penting dan mampu memberi inspirasi kepada rakan sepasukan,” katanya kepada Oddspedia.
Kini lebih banyak beraksi sebagai penyerang nombor sembilan, Ronaldo berjaya menyesuaikan diri dengan gaya permainan baharu yang menekankan posisi dan ketajaman penyudah.
Di Al-Nassr, beliau terus membuktikan kemampuan sebagai penjaring konsisten, sambil menjadi contoh kepada pemain muda tentang erti profesionalisme dan ketekunan.
Dengan barisan pemain berbakat seperti Bruno Fernandes, Bernardo Silva, Rafael Leão, João Félix dan Diogo Costa, Portugal kini dilihat memiliki keseimbangan antara pengalaman dan tenaga muda.
Jika keserasian dan semangat berpasukan dapat dikekalkan, tidak mustahil Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi kunci utama kepada kejayaan Portugal di pentas Piala Dunia 2026.
Baca juga: