RUU Asing Peranan AG – Pendakwa Raya Masuk JKPK

KUALA LUMPUR: Sesi libat urus bersama badan bukan kerajaan (NGO) berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berkaitan pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya telah selesai dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, semua cadangan yang dikemukakan dalam sesi tersebut akan dibawa ke peringkat kedua Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen pada 9 April ini untuk dibincangkan secara lanjut.

Menurut beliau, pelbagai pandangan telah diterima daripada NGO dan pertubuhan masyarakat, termasuk cadangan penambahbaikan terhadap draf asal RUU berkenaan.

“Pandangan yang diberikan akan diteliti dan dibawa ke JKPK untuk diperhalusi,” katanya, memetik berita tempatan pada Jumaat.

Azalina menegaskan beliau terbuka menerima sebarang pandangan demi memperkukuh cadangan pindaan tersebut.

Katanya, proses itu mencerminkan amalan demokrasi yang mengutamakan musyawarah serta usaha mencapai persetujuan bersama antara semua pihak berkepentingan.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju supaya RUU berkenaan, termasuk cadangan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri, dibentangkan semula pada sidang Parlimen akan datang.

Pada 3 Mac lalu, Dewan Rakyat memutuskan RUU itu dirujuk kepada JKPK yang dipengerusikan Azalina bersama 11 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang bagi memberi ruang penelitian menyeluruh sebelum dibentangkan semula.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat