PARLIMEN | Malaysia melakar sejarah baharu dalam landskap perburuhan apabila Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) membentangkan bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat pada Isnin.
RUU ini dirangka khusus untuk mengiktiraf pekerja gig dalam undang-undang buruh negara, sekali gus menjamin hak dan kebajikan mereka secara menyeluruh.
Ia merangkumi empat teras utama iaitu definisi rasmi pekerja gig, kadar bayaran minimum, mekanisme penyelesaian pertikaian dan perlindungan sosial.
“Penggubalan RUU ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menjamin masa depan lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini.
“Malaysia bakal menjadi antara 15 negara terawal di dunia yang memberikan definisi jelas kepada pekerja gig,” kata KESUMA dalam kenyataan.
RUU ini lahir susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau di Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, yang menekankan keperluan mendesak untuk melindungi golongan pekerja gig yang semakin berkembang.
Sejak itu, KESUMA menubuhkan jawatankuasa khas dan menjalankan 28 siri bengkel teknikal, tujuh sesi perbincangan bersama Jabatan Peguam Negara dan 37 sesi libat urus dengan penyedia platform, pekerja gig dan pemain industri.
Bagi memperkukuh dasar, KESUMA turut menjalankan lawatan penandaarasan ke Singapura untuk meneliti Platform Workers Act 2024 serta menyertai perbincangan antarabangsa di International Labour Conference (ILC) ke-113 di Geneva, Switzerland.
RUU Pekerja Gig 2025 mengandungi 10 bahagian dengan 112 fasal dan dijangka menjadi tonggak kepada ekosistem ekonomi gig yang lebih adil, progresif dan inklusif.
Dengan penglibatan tenaga kerja gig yang semakin meningkat saban tahun, kehadiran RUU ini dilihat sebagai langkah tepat pada masanya untuk memastikan golongan ini tidak terus terpinggir daripada perlindungan undang-undang.








