PETALING JAYA: Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan menyuarakan kebimbangan terhadap cara Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) dikendalikan dalam wacana politik negara dengan menyifatkan bahawa isu sebenar bukan terletak pada kandungan RUU itu tetapi kerana ia telah dipolitikkan secara berlebihan.
Menurut Azmi, kerajaan telah menunjukkan komitmen luar biasa dengan menganjurkan sebanyak 108 sesi libat urus iaitu satu angka yang jauh melebihi jumlah sesi yang pernah diadakan untuk Bajet Negara.
“Libat urus sepatutnya bukan sekadar formaliti tetapi platform sebenar untuk membuat penambahbaikan berdasarkan maklum balas rakyat,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Beliau menjelaskan bahawa tujuan utama sesi libat urus adalah untuk mendapatkan bantahan, menjelaskan manfaat RUU dan mengenal pasti kelemahan agar ia dapat diperbaiki sebelum diluluskan.
Namun, katanya, sebahagian pihak memilih untuk menolak RUU ini tanpa hadir ke sesi libat urus yang disediakan, sebaliknya menjadikan ia isu politik semata-mata.
“Sebahagian pihak memilih untuk menolak RUU ini tanpa hadir ke sesi libat urus yang disediakan, sebaliknya menjadikan ia isu politik, bukan perbahasan berfakta,” tegasnya.
Beliau berkata, antara kebimbangan yang dibangkitkan termasuklah tempoh 30 tahun yang membolehkan bangunan dirobohkan serta isu ambang persetujuan 75 peratus yang dikatakan seolah-olah mewakili 100 peratus penduduk terlibat.
Azmi percaya isu-isu ini berkemungkinan besar telah pun dibincangkan dalam sesi libat urus, namun tidak jelas sama ada ia telah ditambah baik dalam draf akhir RUU, menyebabkan masih wujud penolakan.
RUU PSB dijadual dibentangkan esok (Khamis) oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Parlimen.