Saksi Terkejut Lihat Zara Qairina Tidak Sedarkan Diri Dari Tangga Aras 3

KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa dia terkejut melihat keadaan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah pada awal pagi 16 Julai lalu.

“Menurut saksi itu, dia dikejutkan oleh kawannya dan diberitahu mengenai Zara terbaring di bawah bangunan asrama sekolah.

“Dia berkata dia terkejut melihat keadaan Zara dari tangga aras tiga,” kata peguam keluarga mangsa, Shahlan Jufri dipetik Berita Harian.

Menurut Shahlan, saksi ke-10 itu sebelumnya menyoal pelajar tingkatan satu berkenaan di bilik asrama pada malam 15 Julai lalu berhubung kehilangan dompet milik seorang rakan sebelum berpindah ke dorm lain kira-kira pukul 10 malam untuk tidur.

Kata Shahlan lagi, saksi menjelaskan bahawa pada malam kejadian, Zara menafikan dakwaan mencuri sambil bersumpah ‘Wallahi’ ketika disoal oleh kumpulan pelajar lain mengenai kehilangan dompet berkenaan.

Saksi turut menyatakan bahawa dia meninggalkan bilik berkenaan selepas itu dan tidak mengetahui apa yang berlaku seterusnya, selain mendengar ada pelajar lain menyebut perkataan “bodoh” semasa pertanyaan masih berlangsung.

Tambah beliau, saksi mengakui pertemuan itu bukan mesyuarat rasmi asrama, sebaliknya melibatkan sekumpulan pelajar yang dikenali sebagai “Circle Nineteen”, terdiri daripada 19 pelajar perempuan Tingkatan Satu dari kelas sama tetapi tinggal di blok asrama berbeza.

Sementara itu, Mahkamah Koroner dimaklumkan bahawa pasukan pakar forensik dokumen akan meneruskan pemeriksaan bahan bukti bermula esok hingga 14 Oktober bagi membandingkan dokumen dan bahan eksibit berkaitan kes kematian Zara Qairina.

Prosiding inkues dijadual bersambung Isnin depan.

Anda Mungkin Berminat