Salah guna visa untuk berniaga, Anwar mahu penguatkuasaan tanpa kompromi

Oleh: Tyah Helmi

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI bakal memperketat lagi syarat kelayakan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh warga asing.

Menerusi ucapan pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu dilaksana demi memastikan peluang ekonomi serta pekerjaan terus memberi manfaat dan peluang yang banyak buat rakyat tempatan.

Anwar menegaskan bahawa Kerajaan MADANI memandang serius trend penyalahgunaan visa pelawat dan permit tertentu oleh warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran, sekali gus menjejaskan peluang usahawan serta pekerja tempatan.

Katanya, isu berkenaan telah beberapa kali dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri susulan peningkatan jumlah warga asing yang didapati menjalankan perniagaan kecil dan sederhana di negara ini.

“Kita terpaksa memberi isyarat yang jelas bahawa perkara ini tidak boleh diteruskan.

“Badan-badan penguat kuasa mesti mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan visa pelawat atau permit bagi menjalankan aktiviti perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika memberi ucapan di Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Komunikasi Bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada Isnin.

Anwar berkata, antara syarat yang akan diperketatkan termasuk keperluan memiliki pendaftaran perniagaan yang sah serta alamat operasi tetap bagi mengelakkan kegiatan perniagaan dijalankan secara tidak terkawal.

Beliau turut memberi amaran bahawa permit atau lesen perniagaan milik rakyat tempatan yang disalahgunakan atau dipajak kepada pihak asing boleh dirampas.

“Kita dapati ada permit tempatan yang digunakan oleh pihak lain untuk menjalankan perniagaan.

“Jika berlaku salah guna, permit itu akan ditarik balik kerana ia merupakan satu bentuk penipuan,” ujarnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa pihaknya turut menerima aduan mengenai penglibatan warga asing dalam pelbagai sektor perniagaan kecil termasuk bengkel kenderaan, perkhidmatan penyelenggaraan pendingin hawa, kedai kopi dan aktiviti pelancongan.

Menurut beliau, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga tempatan malah berpotensi menghakis peluang pekerjaan rakyat negara ini, khususnya dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana.

Sehubungan itu, Anwar menegaskan Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan ekosistem perniagaan negara kekal adil, telus dan memberi keutamaan kepada kepentingan usahawan tempatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat