Saman Waytha gugat kestabilan Kerajaan yang sah – Mahfuz

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Tindakan Pengerusi Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy yang disokong oleh blok pembangkang, mempersoalkan krebdiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sebenarnya bermotifkan politik bukannya rakyat.

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mahfuz Omar berkata bahawa proses pelantikan Perdana Menteri telah dibuat mengikut Perlembagaan malah disahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan tidak pernah dipertikaikan di Parlimen.

Kata beliau, ketika mana kerajaan sedang bertungkus lumus merangka dan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi mengawal kos sara hidup serta menarik pelaburan, pembangkang pula memilih untuk mencetuskan polemik perundangan yang boleh memecah-belahkan rakyat.

“Rakyat perlukan kestabilan dan tindakan segera dalam isu ekonomi, bukan drama politik bersiri yang mengalih perhatian negara daripada kerja membina masa depan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tegasnya, pengampunan diraja merupakan kuasa mutlak di bawah Perlembagaan dan ia dilaksanakan mengikut proses yang sah.

“Yang menghairankan saya sewaktu Waytha Moorthy menjadi menteri di JPM tidak pula beliau membantah Anwar bertanding PRK Port Dickson dan beliau juga tidak membantah Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat.

“Agaknya selepas doa dari ulamak Pas menembusi telinga Waytha Moorthy baru terbuka hatinya,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan bahawa cubaan pihak pembangkang yang mempertikaikan pengampunan itu adalah sebagai tindakan yang mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya menghormati kebebasan mahkamah, tetapi menegaskan bahawa tindakan saman ini bermotif politik untuk menggugat kestabilan kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat dan disahkan oleh institusi diraja,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak memberi tumpuan kepada masa depan negara, bukannya dendam politik lampau.

“Negara perlukan kestabilan untuk maju. Saman politik ini bukan demi rakyat. Ia hanya helah pembangkang untuk mengganggu perjalanan negara. Kerajaan tetap kekal fokus pada kerja, bukan drama politik bersiri,” katanya.

Terdahulu, Waytha memfailkan saman pemula terhadap Anwar, mendakwa statusnya sebagai anggota Parlimen dan Perdana Menteri melanggar Perlembagaan.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Waytha memohon pengisytiharan bahawa kehilangan kelayakan Anwar sebagai ahli Dewan Rakyat “tidak pernah dibatalkan” oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memohon mahkamah mengisytiharkan kemenangan Anwar di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 serta pelantikannya sebagai Perdana Menteri kemudiannya terbatal dan tidak sah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat