Piket Kepung Demi Palestin berlangsung di Jalan Tun Abdul Razak, berhampiran kedutaan Amerika Syarikat (AS) sejak minggu lalu berjaya meraih sokongan positif daripada rakyat Malaysia.
Menurut Setiausaha Agung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sejagat, Syed Sheikh Assagat, program itu diadakan berhampiran kedutaan AS sebagai mesej peringatan bahawa Malaysia menolak sekeras-kerasnya tindakan negara itu.
Katanya, tindakan AS yang menafikan hak rakyat Palestin dengan cara menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi gencatan senjata dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Tujuan utama kita berkumpul adalah untuk beri tekanan yang lebih kuat kepada kedutaan Amerika supaya mereka hentikan dana dan tarik sokongan kepada rejim haram Israel.
“Program ini adalah simbolik terhadap keadaan rakyat Palestin yang terpaksa hidup sebagai pelarian”, ujarnya kepada Malaysia Bangkit.
Sementara itu, seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Cikgu Chin sanggup menempuhi perjalanan lebih lima jam semata-mata untuk menyertai piket itu.
Datang bersama ibunya dari Kedah, Cikgu Chin dengan semangat menentang perbuatan AS yang disifatkan tidak berperikemanusiaan.
“Saya jumpa poster di Facebook tentang program ini, terus saya beli tiket bas pukul 12 tengah malam dan tiba pada 6 pagi tadi (Jumaat).
“Melihat keadaan rakyat Palestin di sana, saya rasa kesian dan ini sahaja cara yang boleh saya bantu mereka dengan nyatakan sokongan saya kepada anak-anak di Palestin,” katanya sambil menahan sebak.
Untuk info, piket Kepung Demi Palestin berlansung pada 26 sehingga 31 Disember.
Baca juga: