SARA Untuk 22 Juta Warga Dewasa Terima RM100 Mulai 31 Ogos

KUALA LUMPUR: Dalam satu pengumuman bersejarah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian bantuan tunai secara one-off sebanyak RM100 kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Bantuan ini akan dikreditkan terus melalui MyKad, dan boleh digunakan untuk pembelian barangan asas di lebih 4,100 lokasi seluruh negara, termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave, 99Speedmart serta kedai-kedai runcit berdaftar di semua daerah.

“Ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan secara menyeluruh kepada semua rakyat dewasa, tanpa mengira latar belakang pendapatan,” kata Anwar dalam ucapannya bertajuk Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia di Putrajaya pagi tadi.

Menurut beliau, bantuan ini bakal memanfaatkan 22 juta rakyat dan melibatkan peruntukan RM2 bilion, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan program tunai STR dan SARA untuk tahun 2025 meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion.

“Sebagai tanda penghargaan kepada rakyat yang kekal cekal bersama kerajaan MADANI, bantuan ini akan disalurkan bermula 31 Ogos 2025 hingga 31 Disember 2025,” ujar beliau.

Anwar turut menjelaskan bahawa bantuan ini diberikan secara individu, bukan isi rumah. Ini bermakna, setiap anggota isi rumah dewasa seperti suami, isteri dan dua anak dewasa, akan menerima RM100 seorang – menjadikan jumlah RM400 untuk seisi rumah.

Kerajaan juga menyeru agar golongan berkemampuan yang tidak memerlukan bantuan ini agar tidak membelanjakannya, kerana jumlah yang tidak digunakan menjelang akhir tahun akan dikembalikan semula ke tabung bantuan golongan rentan bagi tahun 2026.

Langkah ini, menurut Perdana Menteri, adalah sebahagian daripada ikhtiar kerajaan dalam menampung kos sara hidup dan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dirasai secara langsung oleh rakyat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat