‘Saya Datang Berkhidmat, Bukan Ambil Projek’ – Anwar

INANAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kehadirannya yang kerap ke Sabah adalah sebahagian usaha memastikan pembangunan negeri itu dipercepatkan, bukan untuk tujuan politik.

Beliau berkata dakwaan kononnya kerajaan persekutuan mahu mengawal Sabah adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan realiti kerjasama yang sedang berjalan.

“Saya datang berkali-kali ke Sabah kerana saya mahu pastikan negeri ini berjaya.

“Saya tidak ambil satu pun projek, satu saham pun. Saya datang untuk berkhidmat, bukan untuk mengutip kepentingan diri,” katanya ketika berucap dalam program Townhall Bersama Anak Muda Inanam pada Khamis.

Anwar menjelaskan banyak projek pembangunan termasuk sekolah dan kemudahan pendidikan baharu di Sabah hanya dapat dilaksanakan melalui hubungan baik antara kerajaan negeri dan pusat.

Beliau juga menegaskan bahawa pentadbiran persekutuan komited memastikan Sabah menerima peruntukan yang setara dengan keperluannya, termasuk dalam sektor pendidikan dan infrastruktur.

“Kalau ada kerjasama negeri dan persekutuan, lebih banyak yang dapat kita laksanakan untuk rakyat Sabah. Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal masa depan negeri,” katanya lagi.

Anwar turut menyeru pengundi muda untuk membuat keputusan yang matang menjelang pilihan raya.

“Anak-anak ada tanggungjawab. Buat lah keputusan yang bijak demi masa depan yang cerah untuk Sabah,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat