JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, mengumumkan keputusan untuk tidak lagi bertanding dalam pilihan raya dan berundur daripada arena politik selepas lebih empat tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Menerusi satu kenyataan pada Ahad, Marina berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama keluarga dan individu yang sentiasa menyokong beliau sepanjang perjalanan politiknya.
Menurut beliau, selepas meninggalkan politik, fokusnya akan kembali kepada kerja-kerja kemasyarakatan yang telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupannya sebelum bergelar wakil rakyat.
“Dalam perjalanan ini, Allah SWT telah menemukan saya dengan ramai insan yang menjadi tulang belakang perjuangan dan penguat semangat saya. Mereka hadir daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama, namun perbezaan itu tidak pernah menjadi jurang.
“Sebaliknya, ia menyatukan kami dalam sebuah ikatan kekeluargaan yang dibina atas dasar kepercayaan, kasih sayang dan keinginan untuk berbuat baik kepada masyarakat.
“Dengan penuh rendah diri, saya telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dan berundur daripada arena politik.
“Kini, saya memilih untuk kembali berada di lapangan, menyantuni masyarakat dan meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan yang amat dekat di hati saya,” katanya.

Marina berkata, beliau hadir ke Skudai pada 2022 dengan hasrat untuk berkhidmat kepada rakyat walaupun tanpa kekuatan besar atau pasukan yang lengkap.
Sepanjang tempoh memegang amanah sebagai ADUN, beliau berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat dan memohon maaf atas segala kekurangan serta kelemahan sepanjang menjalankan tanggungjawab tersebut.
“Saya hanyalah seorang manusia yang tidak pernah terlepas daripada kekhilafan dan keterbatasan. Jika terdapat perkara yang tidak memenuhi harapan sesetengah pihak, saya memohon maaf dengan penuh rendah hati,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengundi, penyokong dan anggota pasukannya yang sentiasa bersama-sama mengharungi pelbagai cabaran sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Menurut Marina, walaupun satu babak dalam kehidupannya berakhir, ia tidak bermakna khidmat kepada masyarakat turut berakhir.
“Selagi diberikan kesempatan, saya akan terus menyumbang kepada masyarakat dalam apa jua kapasiti yang mampu saya lakukan,” katanya.
Marina turut mendoakan agar Skudai terus berkembang maju dan masyarakatnya menikmati kesejahteraan yang berterusan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan akan terus komited melaksanakan tugas di kawasan DUN Skudai sehingga wakil rakyat seterusnya dilantik.
Baca juga:








