Saya orang pertama bantah penyatuan UMNO-PAS – Puad

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menegaskan beliau akan menjadi individu terawal membantah sekiranya cadangan penyatuan politik antara UMNO dan PAS dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

Menurutnya, sebarang kerjasama politik yang dibina atas kepentingan kuasa semata-mata disifatkan tidak mampan, bersifat sementara dan berpotensi berakhir dengan konflik.

“Ia bukan idea yang baik. Penyatuan berasaskan kepentingan politik semata-mata tidak akan bertahan lama dan akhirnya meninggalkan rasa tidak puas hati.

“Jika PAS boleh memperalatkan agama, apatah lagi terhadap UMNO. Pas akan menggunakan UMNO hanya untuk mendapatkan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Puad turut menyifatkan kerjasama sedemikian kelihatan menarik di atas kertas, namun mendakwa PAS mempunyai corak politik yang sukar diubah.

“PAS seolah-olah mengamalkan budaya ‘kahwin cerai’ dalam politik. Mudah bekerjasama, tetapi cepat juga berpisah,” katanya lagi.

Puad menambah, perpecahan dalam gabungan politik bukan sahaja menjejaskan kepercayaan rakyat, malah boleh menyebabkan kerjasama itu berakhir secara total dan sukar dipulihkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat