KUALA LUMPUR: “Saya tak dijemput.” Itu reaksi selamba Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya sama ada beliau akan menghadiri perhimpunan pembangkang ‘Himpunan Turun Anwar’ yang berlangsung hari ini di Dataran Merdeka.
Jawapan ringkas itu diberikan ketika beliau ditemui media selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri 2025, pagi tadi.
Meskipun menjadi sasaran utama perhimpunan, Anwar tetap menunjukkan pendirian terbuka dan berpegang kepada prinsip demokrasi yang diperjuangkan Kerajaan MADANI.
Beliau sebelum ini telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memberikan kerjasama penuh bagi memastikan perhimpunan berlangsung dalam keadaan aman dan teratur tanpa sebarang provokasi.
“Kerajaan menghormati hak untuk bersuara, termasuk kepada pihak yang tidak bersetuju dengan dasar kami. Arahan kepada PDRM adalah cerminan komitmen kita menjunjung Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan terdahulu.
Tindakan Anwar yang memberi ruang kepada perbezaan pandangan ini turut dianggap sebagai bukti kematangan politik dan keterbukaan pentadbiran MADANI dalam menangani ketegangan politik secara berhemah.