KUALA LUMPUR: Program Be Smart, Avoid Scam: Scam Awareness For Everyone (SAFE) dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pelbagai taktik penipuan digital yang semakin berleluasa dan canggih.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata program itu bertujuan membantu orang ramai mengenal pasti modus operandi sindiket penipuan, selain memperkukuh keupayaan mereka melindungi diri di alam siber dan mengurus kewangan dengan lebih selamat.
Katanya, ancaman penipuan dalam talian kini semakin membimbangkan kerana penjenayah siber sentiasa mencari pelbagai helah baharu untuk memperdaya mangsa.
“Scammer hari ini semakin licik dan sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa jika tidak sentiasa berwaspada.
“Semoga lebih ramai mendapat manfaat daripada usaha seperti ini, sekali gus lebih bersedia melindungi diri dan keluarga daripada ancaman scammer,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya segera menghubungi talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan bagi membolehkan tindakan pantas diambil oleh pihak berkuasa.
Terdahulu, beliau menghadiri program SAFE yang dianjurkan bersama oleh Malaysian Communications and Multimedia Commission dan Majlis Perwakilan Penduduk Subzon 2 Lembah Pantai di Dewan Persatuan Gujerati, Bangsar Park.
Program berkenaan disertai kira-kira 120 peserta yang terdiri daripada warga emas dan penduduk sekitar Bangsar, dengan fokus meningkatkan literasi digital serta kesedaran terhadap jenayah penipuan dalam talian.
Baca juga:








