Segera terjemah 31 MoU Malaysia-China jadi nyata – PMX

BEIJING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perjanjian serta memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara Malaysia dan China perlu segera diterjemahkan kepada pelaksanaan nyata bagi memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, di Great Hall of the People, Beijing pada Selasa.

Pertemuan itu memperkukuh ikatan dua hala selepas lawatan negara Presiden Xi ke Malaysia pada April lalu, yang menyaksikan pemeteraian 31 MoU dan perjanjian strategik.

Menurut Anwar, hanya dengan tindakan pantas, kerjasama bernilai tinggi itu mampu memberi impak yang lebih bermakna, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, perubatan, farmaseutikal serta minyak dan gas.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah AS$106 bilion pada tahun lalu.

Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan China berteraskan kepercayaan, saling hormat dan keikhlasan yang telah lama terjalin.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat