Gaza: Sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin terbunuh dalam serangan terbaru zionis di Gaza.
Tindakan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang berdegil mempertahankan sekatan ke atas wilayah itu mencetuskan kecaman antarabangsa.
Memetik Al-Jazeera pada Sabtu, keadaan meruncing dengan penduduk Gaza kini berdepan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan tempat perlindungan.
Bantuan kemanusiaan juga masih terhalang daripada memasuki wilayah berkenaan.
Dalam usaha mencari penyelesaian, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyokong pelan pembinaan semula Gaza yang diketuai Mesir, sebagai alternatif kepada cadangan Amerika Syarikat yang mahu mengambil alih dan membangunkan wilayah itu.
Ketegangan turut meningkat di sempadan Lubnan apabila Israel melancarkan 15 serangan udara ke kawasan selatan negara itu, yang disifatkan sebagai serangan terbesar sejak gencatan senjata dengan Hezbollah.
Sementara itu, kumpulan Houthi di Yaman memberi amaran kepada Israel supaya menamatkan sekatan ke atas Gaza dalam tempoh empat hari, atau berdepan tindakan balas melalui serangan maritim.
Menurut laporan terkini, angka korban di Gaza kini mencecah 61,709 orang, termasuk ribuan yang masih tertimbus di bawah runtuhan.
Baca juga: