Sekurang-Kurangnya 182 Terbunuh Di Lebanon Dalam Serangan Udara Besar Israel

BEIRUT: Israel telah melancarkan gelombang besar serangan udara ke seluruh Lebanon, mengorbankan dan mencederakan ratusan orang, sementara pegawai menyatakan perang terhadap kumpulan bersenjata Hezbollah masih berterusan walaupun terdapat gencatan senjata di Iran.

Israel menggambarkan serangan itu sebagai yang terbesar dalam konflik ini, mengenai lebih daripada 100 pusat komando dan tapak ketenteraan Hezbollah dalam masa 10 minit.

Kawasan pinggir selatan Beirut, selatan Lebanon dan Lembah Bekaa di timur turut menjadi sasaran.

Kementerian Kesihatan Lebanon berkata, sekurang-kurangnya 182 orang telah terbunuh, angka yang dijangka meningkat dan 890 lagi cedera.

Di lokasi serangan terbesar di Beirut, beberapa jam kemudian, pasukan penyelamat masih mencari mangsa di bangunan yang rosak.

Abdelkader Mahfouz, yang melawat abangnya yang cedera, berkata: “Terdapat banyak bahagian tubuh di sini. Hanya orang awam yang terjejas. Apa yang boleh rakyat lakukan? Kami tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya memetik laporan BBC News.

Serangan berlaku selepas pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menafikan dakwaan Pakistan yang menjadi pengantara perjanjian antara AS dan Iran bahawa gencatan senjata turut merangkumi konflik di Lebanon.

Di Washington, jurucakap Presiden AS Donald Trump, Karoline Leavitt, turut menegaskan bahawa Lebanon tidak termasuk dalam perjanjian tersebut.

Hezbollah, yang tidak mengaku melakukan sebarang serangan sejak perjanjian diumumkan berkata, kumpulan itu berhak untuk bertindak balas dan memberi amaran kepada keluarga yang dipindahkan supaya menunggu pengumuman rasmi gencatan senjata sebelum pulang ke rumah.

Presiden Lebanon pula menyatakan pihaknya akan terus berusaha untuk memasukkan Lebanon dalam perdamaian serantau.

Peningkatan terbaru dalam konflik berdekad antara Hezbollah dan Israel tercetus apabila kumpulan itu melancarkan roket ke Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada peringkat awal perang serta serangan hampir setiap hari oleh Israel ke atas Lebanon walaupun gencatan senjata telah dipersetujui pada November 2024.

Menurut Kementerian Kesihatan Lebanon, lebih 1,700 orang telah terbunuh setakat ini termasuk sekurang-kurangnya 130 kanak-kanak tanpa membezakan antara pejuang dan orang awam.

Israel pula mendakwa telah membunuh sekitar 1,100 pejuang Hezbollah.

Lebih 1.2 juta orang telah dipindahkan bersamaan seorang daripada lima penduduk yang kebanyakannya daripada komuniti Muslim Syiah.

Kampung-kampung berhampiran sempadan musnah akibat serangan darat Israel yang bertujuan mewujudkan apa yang digelar pihak berkuasa sebagai zon penampan keselamatan untuk memusnahkan infrastruktur Hezbollah dan menolak pejuangnya lebih jauh.

Perkara ini menimbulkan kebimbangan bahawa sesetengah kawasan mungkin diduduki walaupun selepas perang berakhir dan ramai penduduk mungkin tidak dapat kembali ke rumah mereka.

Anda Mungkin Berminat