PETALING JAYA: Malaysia sekali lagi mencatat sejarah apabila diumumkan sebagai tuan rumah Islamic Solidarity Games (ISG) edisi ke-7 pada tahun 2029, dengan Negeri Selangor menjadi lokasi penganjuran rasmi.
Pengumuman itu dibuat semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-14 Islamic Solidarity Sports Association (ISSA) pada 8 November 2025, sebelum disusuli dengan majlis penyerahan simbolik semasa Upacara Penutup ISG edisi ke-6 di Stadium Princess Nourah Bint Abdulrahman University, Riyadh, Arab Saudi, pada 21 November 2025.
Terdahulu, Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi (SOPC) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Penganjuran ISG ke-6, Yang Mulia Putera Fahd Bin Jalawi Bin Abdulaziz Bin Musaed menyerahkan bendera ISSA kepada Presiden ISSA yang juga Presiden SOPC serta Menteri Sukan Arab Saudi, Yang Mulia Putera Abdulaziz Bin Turki Al-Faisal sebagai simbol penutup rasmi ISG edisi ke-6 di Riyadh.
Seterusnya, Yang Mulia Putera Abdulaziz menyerahkan bendera ISSA kepada Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi bersama Setiausaha Agung NOC Malaysia, Mohd Nasir Ali.
Penyerahan itu menandakan secara rasmi tanggungjawab penganjuran ISG edisi ke-7 telah diserahkan kepada Malaysia dan Negeri Selangor.
“Atas nama Dr Norza Zakaria, Presiden NOC Malaysia merangkap Naib Presiden OCA bagi Zon Asia Tenggara, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ISSA di bawah kepimpinan berwawasan Yang Mulia Putera Abdulaziz Bin Turki Al-Faisal kerana memberikan kepercayaan kepada NOC Malaysia dan Negeri Selangor untuk menganjurkan ISG edisi ke-7 pada tahun 2029,” kata Mohd Nasir Ali di Riyadh.
“Ini merupakan satu pencapaian bersejarah bagi Pergerakan Sukan Islam di Malaysia dan kami berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Negeri Selangor serta ISSA bagi memastikan penganjuran satu lagi edisi ISG yang spektakular, diperkaya dengan hospitaliti Malaysia yang terkenal.”
“Jumpa anda di Selangor pada tahun 2029,” katanya dalam satu hantaran di Facebook Majlis Olimpik Malaysia.








