Selangor Sambar Pemain Sayap Kiri Sensasi dari Jordan

Oleh: Hanim Nadia

SELANGOR FC (SFC) memperkuat barisan pertahanan dan sayap kiri pasukan The Red Giants dengan mengikat pemain dari Jordan, Mohammad Abualnadi bagi menghadapi baki saingan Liga Super Malaysia dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Abualnadi melengkapkan perpindahan ke Gergasi Merah Kuning sebagai pemain import kesembilan selepas Umar Eshmurodov, Safuwan Baharudin, Alvin Fortes, Ronnie Fernandez, Yohandry Orozco, Alex Agyarkwa dan Ali Olwan.

Pemain berusia 23 tahun itu menjadi pemain terakhir diikat The Red Giants sebelum jendela perpindahan ditutup pada Ahad lalu.

Pemain kelahiran Jordan-Amerika ini memulakan karier bersama Kansas Academy semasa berusia 18 tahun dan beraksi dalam US Open Cup bersama skuad utama Sporting Kansas City, MLS Next Pro dan USL Championship bersama Sporting Kansas City II.

Abualnadi sempat beraksi dalam 11 perlawanan sebagai pemain muda sebelum menerima tawaran untuk terbang ke Jordan bersama kelab Al-Hussein SC.

Pemain ini juga adalah pemain kebangsaan Jordan yang telah beraksi bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) dalam Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak Asia Barat, pusingan kelayakan Piala Asia B-23 (tiga penampilan) dan satu aksi pada Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Musim 2024 menjadi batu loncatan bagi pemain berketinggian 1.8 meter itu apabila menerima panggilan kebangsaan bagi kem latihan pada Julai sebelum membuat penampilan pertama bersama skuad utama Jordan ketika berdepan Korea Utara dalam perlawanan persahabatan pada 23 Ogos lalu.

Anda Mungkin Berminat