Selangor Umum Tajaan Penuh Haji, 75 Jemaah Terpilih

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi menunjukkan komitmen terhadap kebajikan rakyat dengan meluluskan tajaan penuh bagi 75 jemaah haji tahun 1447H/2026M, melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM1.2 juta.

Jumlah itu merupakan peningkatan berbanding tahun lalu yang menaja 46 jemaah.

Selain tajaan penuh, setiap jemaah turut menerima bantuan perjalanan RM1,500 daripada kerajaan negeri dan Yayasan MBI bagi meringankan urusan ke Tanah Suci.

Proses pemilihan akan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji dan Jabatan Agama Islam Selangor, sebelum disembah maklum untuk perkenan DYMM Sultan Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataannya berkata, aspek keselamatan menjadi keutamaan.

“Mengambil kira situasi yang tidak menentu di Timur Tengah, kerajaan negeri akan bekerja rapat dengan Wisma Putra berlandaskan garis panduan keselamatan supaya perjalanan jemaah Selangor diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau turut menyeru agar konflik di Timur Tengah diselesaikan melalui rundingan damai.

“Saya mendoakan agar keadaan di Timur Tengah kembali aman dan mengajak semua pihak yang terlibat untuk kembali ke meja rundingan sebagai jalan penyelesaikan konflik ini.

“Dunia tidak boleh membenarkan budaya pelanggaran undang-undang antarabangsa untuk dinormalisasikan terutamanya dalam keadaan rakyat biasa sedang menjadi mangsa,” katanya.

Anda Mungkin Berminat