KUALA LUMPUR: Semangat solidariti dan kedaulatan yang lahir daripada Konferensi Asia-Afrika 1955 di Bandung, Indonesia, kekal relevan sebagai panduan utama dalam menghadapi cabaran dunia masa kini, kata Perdana Menteri.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau pertemuan bersejarah tujuh dekad lalu yang menyaksikan pemimpin negara-negara baharu merdeka bangkit menuntut hak menentukan masa depan mereka sendiri.
“Tujuh dekad lalu di Bandung, pemimpin Asia dan Afrika bangkit menegaskan bahawa bangsa yang baru merdeka mesti membina ‘destiny’ mereka sendiri.
“Semangat itu masih relevan hingga kini bahawa kebebasan adalah asas penting sesebuah negara bangsa,” katanya.
Beliau berkata, dalam era ketidaktentuan geopolitik, perang dagang dan persaingan teknologi, ASEAN perlu kekal sebagai platform utama rantau ini untuk menjamin kestabilan dan kerjasama yang berpaksikan undang-undang.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bertekad memelihara peranan ini termasuk melalui inisiatif besar seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 (ACFTA 3.0) yang bakal dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47,” katanya.
Konsep ‘centrality’ ASEAN, menurut Anwar, adalah kunci kepada kerjasama serantau yang inklusif dan terbuka, serta mampu menangkis tekanan geopolitik yang bersifat hegemonik.
“Yang utama adalah mengangkat prinsip ‘sovereign interdependence’, iaitu keterhubungan berasaskan pilihan dan ketahanan.
“Inilah jalannya untuk memastikan Asia, dengan ASEAN sebagai nadinya, terus memimpin ke arah keterbukaan, kesaksamaan dan kemakmuran bersama,” katanya.