PETALING JAYA: Kunjungan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, baru-baru ini membawa pengalaman yang cukup mengharukan apabila suasana sekolah dipenuhi dengan semangat gotong-royong yang luar biasa.
Ketika tiba, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyaksikan sendiri pelajar dan guru berganding bahu membersihkan kawasan sekolah secara sukarela melakukan kerja seperti menyapu koridor, mencuci tingkap dan menghias persekitaran dengan penuh dedikasi.
“Kelihatan pelajar ditugaskan menyapu koridor, mencuci tingkap dan menghias persekitaran sekolah dengan semangat kerjasama yang tinggi, mencerminkan nilai cinta dan tanggungjawab terhadap sekolah yang wajar dihargai,” kata Fadhlina dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, meskipun pelbagai isu pendidikan sedang melanda, masih banyak perkara positif berlaku di lapangan.
“Walaupun kita diuji dengan pelbagai isu pendidikan kebelakangan ini, banyak perkara baik sedang berlaku.
“Program seperti ini mungkin kecil tapi impaknya besar jika dilaksanakan dengan penuh komitmen,” tambahnya.
Dalam lawatan tersebut, Fadhlina turut berkongsi perkembangan agenda Reformasi Sekolah yang sedang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurutnya, agenda itu memberi penekanan kepada tiga teras utama, iaitubprestasi akademik, pembentukan sahsiah murid dan kesejahteraan komuniti sekolah secara menyeluruh.
Beliau menyeru agar semua pihak terutama guru, pentadbir, ibu bapa dan masyarakat untuk berganding bahu membentuk ekosistem pendidikan yang kondusif dan selamat untuk semua.
Beliau turut menyentuh isu buli yang semakin membimbangkan dan menegaskan pendirian tegas KPM.
“Jangan sesekali berkompromi dengan salah laku buli.
“Kita mesti perangi sehingga ke akar umbi,” tegasnya.
Beliau turut menyampaikan kata-kata semangat kepada pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), agar terus berusaha dan berdoa demi kejayaan yang cemerlang.
SMKA Lati, yang pernah diiktiraf sebagai sekolah berprestasi tinggi di Kelantan, terus menunjukkan kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam pembangunan sahsiah dan semangat komuniti yang membanggakan.