Sembilan klinik haram diserbu, ‘doktor’ warga asing turut ditahan

KUALA LUMPUR: Sembilan premis dipercayai beroperasi sebagai klinik haram diserbu dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin, semalam.

Menurut JIM, sebanyak 50 warga asing berusia antara 21 hingga 42 tahun diperiksa dalam operasi berkenaan.

Daripada jumlah itu, seramai 18 individu ditahan membabitkan 17 warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas atau permit yang diberikan.

“Siasatan mendapati premis terbabit menggunakan taktik menyamarkan operasi dengan menjalankan perniagaan barangan harian di bahagian hadapan, manakala di bahagian dalam terdapat kaunter agensi pelancongan, jualan ubat-ubatan serta aktiviti lain yang tidak selaras dengan lesen perniagaan,” menurut kenyataan JIM pada Sabtu.

Turut ditemui pelbagai jenis ubat tidak berdaftar dengan KKM termasuk bahan psikotropik yang dipercayai dibawa masuk dari Bangladesh.

Ubat-ubatan itu dijual terus kepada pelanggan dengan anggaran harga antara RM50 hingga RM100 bagi setiap transaksi.

“Siasatan awal mendapati bekalan dipercayai dibawa masuk dari luar negara melalui individu yang memasuki Malaysia sebagai pelancong.

Dalam operasi sama, turut ditahan warga asing yang dipercayai berperanan sebagai ‘doktor’ dengan memberi nasihat serta rawatan perubatan kepada pelanggan,” menurut kenyataan JIM lagi.

Maklumat berkaitan kesalahan di bawah bidang kuasa kesihatan akan disalurkan kepada KKM untuk tindakan lanjut, manakala siasatan diteruskan bagi mengenal pasti kemungkinan wujud rangkaian sama di lokasi lain.

Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi bagi membantu usaha penguatkuasaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat