Semua daerah di Kedah, Perak capai status daerah menua

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini mengeluarkan statistik anggaran penduduk semasa mengikut daerah pentadbiran bagi tahun ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indikator daerah menua ialah apabila sesuatu kawasan itu mencapai lebih 7 peratus nilai penduduk berumur 65 tahun ke atas.

Semua daerah di Kedah dan Perak dikategorikan sebagai daerah menua dengan masing-masing mencatatkan peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas sebanyak 9.1 peratus dan 9.9 peratus.

“Kategori daerah menua ditetapkan melalui tiga kategori termasuk ageing society, aged society dan super-aged society.

“Ia masing-masing merujuk kepada penduduk berumur 65 tahun dan lebih yang mencecah 7 peratus, 14 peratus dan 20 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, DOSM turut mengumumkan tiga daerah yang mencatatkan penduduk berumur muda (0 hingga 14 tahun) tertinggi di Kelantan.

Daerah Kecil Lojing mencatatkan penduduk berumur muda tertinggi iaitu sebanyak 33.8 peratus.

Ia diikuti dengan Gua Musang sebanyak 33.4 peratus dan Tumpat sebanyak 32.3 peratus

Anda Mungkin Berminat