SENGGARANG: Siri jelajah politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor terus mengukuhkan momentum apabila Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, hari ini menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang sebagai medan tumpuan.
Beliau merasmikan Bilik Gerakan Utama (BGU) di N24 Senggarang dengan disaksikan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, sekali gus memberi isyarat bahawa jentera parti sudah bersedia menghadapi cabaran pilihan raya akan datang.
Dalam satu hantaran di Facebook, Dr Zaliha menegaskan harapan besar terhadap Senggarang sebagai kawasan strategik yang mampu menyumbang kepada kejayaan PKR Johor.
“Saya menzahirkan keyakinan bahawa DUN Senggarang mempunyai potensi besar serta menaruh harapan tinggi kepada Senggarang,” katanya.
Beliau turut menyeru agar seluruh jentera parti digerakkan dengan penuh komitmen demi memastikan kesinambungan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
“Ayuh teruskan gerak kerja dan pastikan PMX kekal menerajui negara,” katanya.
Dr Zaliha turut menyampaikan penghargaan kepada PKR Cabang Batu Pahat atas kesungguhan menggerakkan jentera di peringkat akar umbi.
“Tahniah kepada PKR Cabang Batu Pahat!” ujarnya.
Untuk info, Johor kini dilihat menjadi pentas awal persaingan politik antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bersama yang sedang berusaha menempatkan diri dalam landskap politik negara.








