KUANTAN: Di sebuah rumah sederhana di Lorong Semambu, senyuman seorang warga emas bernama Shanti Suberamaniam, beliau menerima kunjungan daripada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.
Kunjungan itu merupakan satu detik penuh makna yang menyentuh hati apabila menyantuni seorang wanita berusia yang saban hari ditemani kesunyian, namun tetap tenang dan positif dalam menjalani kehidupan.
Dalam pertemuan tersebut, Shanti berkongsi kisah hidupnya yang sarat dengan pengorbanan dan kasih terhadap keluarga serta jiran tetangga.
Cerita-cerita itu mencerminkan nilai kemanusiaan yang tulus dan ketabahan luar biasa yang jarang didengar tetapi wajar dihargai.
Sebagai tanda prihatin, Ahmad Farhan menyampaikan sumbangan bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu meringankan keperluan harian Shanti terutama menjelang perayaan Deepavali.
“Ziarah seperti ini bukan sekadar menyampaikan bantuan tetapi sebagai tanda kasih dan penghargaan terhadap jasa serta pengalaman warga emas yang banyak berjasa kepada masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut berkata, pendekatan turun padang seperti ini adalah cerminan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat dan kepedulian terhadap rakyat khususnya golongan yang sering terpinggir daripada perhatian arus perdana.
“Inisiatif seumpama ini turut memperkukuh semangat perpaduan serta memastikan tiada golongan terpinggir khususnya warga emas yang memerlukan perhatian dan sokongan,” katanya.
Program ziarah tersebut selaras dengan komitmen kerajaan di bawah pimpinan Anwar untuk terus mendekati rakyat, memahami cabaran sebenar di peringkat akar umbi dan memastikan setiap lapisan masyarakat merasai sentuhan kepimpinan yang peduli.