KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah yang dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, hari ini.
Menurut beliau, rayuan berkenaan telah difailkan di Mahkamah Rayuan pada 6 Mei lalu.
Pada 28 April lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Shamsul Iskandar untuk memindahkan kes berkenaan kerana didapati tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa pihak pembelaan belum memutuskan sama ada akan memohon penangguhan prosiding kes berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan berkata, sebahagian dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan dan baki dokumen akan diberikan sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 Jun depan untuk pengurusan kes selanjutnya.
Shamsul Iskandar Mohd Akin, 51, berdepan lima pertuduhan rasuah termasuk didakwa menerima wang tunai RM140,000 daripada seorang ahli perniagaan sebagai balasan membantu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Beliau turut didakwa menerima suapan berbentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai lebih RM36,000 daripada individu sama bagi tujuan serupa.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya antara November 2023 hingga Mac 2024.
Selain itu, beliau juga didakwa memperoleh suapan berjumlah RM64,924 yang digunakan bagi pembayaran sewaan sebuah rumah di Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.
Kes dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Baca juga:








