Sharnaaz digesa mohon maaf kepada Fahmi Fadzil

PETALING JAYA: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon, Sharnaaz Ahmad terhadap Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil dalam satu video.

Presiden PVTM, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, dakwaan Sharnaaz menunding jari kepada Fahmi berhubung isu pemakaian tetamu lelaki ketika Anugerah Juara Lagu (AJL39) baru-baru ini adalah tidak berasas.

“PTVM ingin menegaskan bahawa penganjuran AJL adalah di bawah bidang kuasa sebuah badan penyiaran swasta dan tidak mempunyai kaitan dengan Kementerian Komunikasi.

“Oleh itu, menyalahkan Fahmi Fadzil dalam isu ini adalah tidak relevan dan menunjukkan kurangnya pemahaman terhadap struktur industri penyiaran negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, katanya, isu berkaitan pemakaian yang bertentangan dengan norma budaya dan agama seharusnya dirujuk kepada penganjur acara dan agensi berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pihak berkuasa agama negeri.

“Sehubungan itu, PTVM mendesak Sharnaaz Ahmad untuk segera menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf secara terbuka kepada Fahmi Fadzil atas keceluparan dan tuduhan yang tidak berasas tersebut.

“Sebagai seorang figura awam, beliau harus menunjukkan teladan yang baik dengan bersikap lebih bertanggungjawab dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan,” katanya.

Menerusi satu video, Sharnaaz mengulas mengenai isu pemakaian beberapa tetamu yang berpakaian seperti wanita di AJL39.

Dalam video tersebut, Sharnaaz menyeru kepada Fahmi selaku pemimpin untuk mengambil tindakan terhadap isu tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat